Kisah Pemandu Teksi Yang Dimaki Pemandu Lori Sampah. Jawapan Pemandu Teksi Memang Awesome!
https://coretanmalaysiaterkini.blogspot.com/2015/07/kisah-pemandu-teksi-yang-dimaki-pemandu.html
Gambar Hiasan |
Pada satu hari, aku menaiki sebuah teksi di tengah-tengah kota New York. Dalam ketenangan di laluan jalan raya ini, dengan tiba-tiba, muncul sebuah lori sampah dari tapak parkir bersebelahan. Laju. Semberono.
Kami terkejut. Pemandu teksi mengelak. Dia menarik brek tangan. Kakinya menekan juga pedal brek. Teksi kami menggelincir. Tayar bergesek. Berasap. Hampir-hampir satu inci teksi kami men'cium' kereta di depan. Aku di belakang, cemas. Bagai tertinggal jantung di tepi jalan. Geram.
Tidak cukup itu, pemandu lori sampah itu menyumpah kami dari dalam lorinya. Dia mengangkat isyarat jari hantu sebagai tanda 'hormat'. Memualkan. Marahku semakin 'muntah'.
Paling mengejutkan, pemandu teksiku ini sekadar senyum, dan melambai-lambai tangannya terhadap pemandu lori sampah yang ****** itu. Marahku meletup. Apalagi, aku dengan separa jerit, "Encik, kita nyaris-nyaris terbunuh tadi. Tapi cuma itu yang Encik mampu lakukan?!!"
Bersahaja, pemandu teksi ini menjawab, "Tuan, begitu ramai kita yang seperti sebuah lori sampah. Ke hulu ke hilir penuh 'sampah' di dadanya. Penuh kekecewaan. Padat amarahnya. Apabila telah penuh 'sampah-sampah' ini, maka mereka tercari-cari di manakah ingin dibuang dan diluahkan."
"Dan jika kita izinkan, mereka akan buangnya kepada kita. Oleh itu, jika datang lori sampah kepadamu, jangan diambil sampahnya. Senyum. Lambai. Dan pergi. Percayalah, hidupmu lebih bahagia nanti."
Jadi, aku mula berfikir. Telah sekian banyaknya Lori-lori Sampah ini datang kepadaku. Dan entah berapa kali telah kuambil dan kubawa sampahnya, lalu kucampakkan pula pada teman-teman sekerja, anak isteri di rumah, atau di atas jalanraya juga. Nampaknya, selepas ini aku harus katakan pada diriku, "Aku tidak mahu sampahmu. Dan aku tidak akan campakkan sampah ini pada orang lain di sekelilingku."
Tuan-tuan, begitulah kisah yang ditulis oleh David J. Pollay, di dalam bukunya, THE LAW OF THE GARBAGE TRUCK ™.
Sudah berapa lama kita biarkan orang lain mengubah mood dan semangat kita saban hari? Pelayan yang masam, pemandu samseng, pelanggan amarah, jalanraya berlubang, lif rosak, dan entah apa lagi. Marah berpindah-randah. Namun cinta berbatu-bata.
Usah biarkan dirimu dikuasai oleh orang lain. Dirimu, wilayahmu. Perasaanmu, kuasamu. Kuasamu, redha Tuhanmu. Senyum, dan biarkan Lori Sampah itu pergi.
FB Al Irfan Jani
FB Al Irfan Jani
loading...
MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI