Dulu Saya Hodoh, Berjerawat Dan Pernah Dihina Rakan-Rakan – Hafreez Adam
https://coretanmalaysiaterkini.blogspot.com/2016/03/dulu-saya-hodoh-berjerawat-dan-pernah.html
Dulu Saya Hodoh, Berjerawat Dan Pernah Dihina Rakan-Rakan – Hafreez Adam | Pelakon baru, Hafreez Adam mendedahkan kegilaannya terhadap makanan laut pada usia remaja menjadi punca mukanya kelihatan buruk akibat dipenuhi jerawat batu.
Aktor itu menyatakan masalah itu menyebabkan dia hilang keyakinan diri, malu berjumpa orang ramai dan banyak menghabiskan masa di rumah.
“Ketika berumur 18 tahun muka saya sangat teruk kerana mempunyai banyak jerawat menyebabkan saya kurang keyakinan diri dan berasa malu. Saya juga jarang keluar bersama rakan-rakan,” katanya.
Ketika mendapatkan rawatan, doktor menasihatinya supaya tidak lagi memakan makanan laut kerana ia antara faktor yang menyebabkan wajahnya ditumbuhi jerawat yang banyak.
Gara-gara bimbang masalah itu bertambah melarat, dia memutuskan untuk tidak lagi menikmati makanan laut sehingga jerawatnya mula berkurangan dan muka menjadi licin dalam tempoh lima tahun.
“Sejak menerima nasihat yang diberikan oleh doktor saya tidak lagi memakan makanan laut selama lima tahun dan semenjak itu, jerawat di muka saya semakin berkurangan walaupun tidak hilang seratus peratus.
“Perkara ini mungkin juga terjadi disebabkan proses hormon yang terdapat pada badan sewaktu remaja ditambah lagi ketika itu saya kurang menitikberatkan tentang pemilihan makanan yang berkhasiat,” jelasnya.
Dia telah meluahkan rasa malu itu di dalam blognya dua tahun lalu termasuklah pengalaman dihina rakan sendiri yang menyamakan wajahnya itu dengan kulit punggung.
Tujuan dia meluahkan perasaan itu adalah untuk memberi motivasi kepada orang lain agar yakin kepada diri sendiri dan sentiasa berfikiran positif.
Dia perlu mengambil masa yang lama untuk mengembalikan keyakinan dirinya dan berhadapan dengan orang ramai selepas mengalami masalah tersebut.
“Semua perubahan ini berlaku secara berperingkat dan ia mengambil masa yang lama untuk saya mengurangkan jerawat pada muka dengan mencuba pelbagai produk yang terdapat di pasaran.
“Keluarga juga banyak membantu serta mengubah imej saya dari segi pakaian, penjagaan muka serta potongan rambut yang sesuai untuk meningkatkan semula keyakinan diri saya berhadapan orang ramai,” ujarnya
loading...
MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI