Fakta Penting! Jangan Biarkan Anak Anda Tanpa Sarapan Pagi.
https://coretanmalaysiaterkini.blogspot.com/2015/02/fakta-penting-jangan-biarkan-anak-anda.html
Sarapan yang baik akan menyediakan tenaga segera untuk sel-sel otak berfungsi pada waktu pagi. Ia juga mengelakkan tubuh menjadi lesu.
Sebaliknya, ramai yang memilih makanan atau snek yang kurang berkhasiat dan berkalori tinggi untuk bersarapan. Sesetengah orang percaya mereka boleh menggantikan sarapan pagi yang tertinggal dengan mengambil kuantiti yang banyak pada waktu makan tengah hari.
Malah ada juga yang berpendapat mereka boleh mengurangkan berat badan dengan meninggalkan sarapan pagi. Hakikatnya tanpa disedari mereka boleh mengekalkan berat badan dengan amalan sarapan pagi yang kaya protein dan serat.
Secara umum, wanita Malaysia yakin dan prihatin dengan kepentingan mengalas perut dengan sarapan pagi yang berkhasiat untuk diri dan keluarga. Meskipun sebahagian besar wanita bandar terdiri daripada mereka yang bekerja, namun kesibukan mengimbangkan masa antara urusan tugas, rumah dan keluarga bukan alasan mengabaikan sarapan.
Rumusan tersebut dibuat berdasarkan tinjauan ke atas sepuluh orang wanita yang bekerja sama ada bujang atau sudah berkahwin. Mereka berumur di antara 27 hingga 33 tahun dan menetap di sekitar Kuala Lumpur.
Penyediaan Sarapan
Sarapan pagi yang disediakan sendiri lebih berkhasiat berbanding membelinya. Bagi yang ingin melawan kesibukan pada waktu pagi, roti dan susu adalah pilihan ideal yang paling ringkas.
Contoh kombinasi sarapan yang berkhasiat ialah telur rebus, sebiji buah oren dan semangkuk bijirin.
Bersarapan dengan susu rendah lemak atau sekeping roti penuh bijirin dengan mentega kacang, potongan lobak merah dan yogurt rendah lemak juga antara amalan yang sihat.
Kebaikan Sarapan Untuk Kanak-Kanak dan Pelajar
Khasiat daripada sarapan telah terbukti memainkan peranan penting dalam membantu perkembangan minda dan sahsiah manusia terutama bagi kanak-kanak.
Satu daripada kajian yang menyentuh isu tersebut ialah Relationship Between Hunger and Psychosocial Functioning in Low-Income American Children yang disiar dalam Journal of the American Academy of Child and Adolescent Psychiatry pada Februari 1998.
Ia membuktikan bahawa pelajar sekolah yang bersarapan setiap pagi mendapat keputusan yang lebih baik dalam ujian standard, bersikap lebih sopan dan kurang hiperaktif berbanding pelajar-pelajar yang tidak bersarapan.
Bagaimanapun, sarapan yang manis seperti bijirin yang bergula, penkek dan sirap maple biskut cip coklat perlu dielakkan kerana ia akan menyebabkan mereka cepat lapar, mudah meragam dan makan lebih banyak pada waktu tengah hari.
Sama seperti kanak-kanak, pelajar dan orang dewasa juga menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam akademik dan kerja jika mereka memulakan hari dengan bersarapan.
loading...
MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI