GARA-GARA gagal menyelesaikan teka-teki Sudoku, banduan di Penjara Exeter di United Kingdom, dilaporkan bertindak menghantar surat ditandatangani 86 banduan lain kepada syarikat yang mencetak akhbar itu.

Michael Blatchford, 33, dan rakannya Shane Smith menulis surat kepada editor akhbar bersama salinan Sudoku yang gagal dijawab bagi menyatakan kekecewaan mereka dan tahanan lain. 

Sebelum ini, dua banduan itu berjaya menyelesaikan Sudoku mudah diterbitkan dalam akhbar sama. Bagaimanapun, mereka mendakwa, Sudoku yang diterbitkan dua kali seminggu dalam Exeter Express dan Echo pada 21 Mei lalu adalah mustahil untuk diselesaikan.

Di dalam surat itu, mereka juga memberitahu sebagai banduan mereka hanya menerima akhbar sekali seminggu iaitu pada hari Khamis, dan tidak dapat menyemak jawapan yang diterbitkan pada hari Isnin. - Mirror