Tips Menarik

loading...

'TAK APALAH SAYANG, SARA SUDAH LETIH'


21 November 2015, petang itu, saya berada di office buat kerja seperti biasa. Si isteri warded di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sebab 'Chronic Hypertension'. Hari ini, dia akan buat doppler scan untuk tengok baby sihat atau tidak. 

Jam 4 petang, isteri menangis-nangis call beritahu kena ceaser malam itu juga sebab Sara sudah tidak kuat. Bimbang Sara tidak boleh bertahan lagi.

Tetapi saya masih relax, masih cool seperti biasa. Kemas-kemas barang dan terus pergi ke hospital jumpa isteri. Bila sampai, dia menangis-nangis beritahu takut tak sempat jumpa Sara sebab Sara kecil dan tidak kuat.

"Tak apa, jangan risau, Allah ada. Kalau kita kuat, inshaAllah baby pun kuat. Kita kena redha, Allah tahu apa yang terbaik untuk kita semua," kata daddy cuba tenangkan mummy.

Jam 8.15 malam, dia masuk 'Operating Theater' (OT) untuk dibedah. Saya masih ingat lagi semasa menemankan dia masuk ke OT, saya pesan padanya yang dia kena kuat dan terima apa saja yang terjadi. Saya cool, relax seperti biasa sebab tidak mahu isteri lemah semangat. Saya pesan pada dia, selawat banyak-banyak, jangan stress.

Lebih kurang jam 10 malam, doktor keluar memberitahu yang semua 'selamat' tetapi.. 

"Alhamdulillah, saya dah jadi bapa oi!" spontan saya berkata-kata memotong percakapan doktor itu. Tetapi saya tak jumpa isteri dengan anak lagi pada masa itu sebab masih belum siap.

"Ibu sihat, semuanya okay tetapi baby kecil 782 gram. Baby girl, baby awak lahir tak ada heart beat 12 minit. Kita buat CPR 10 minit masih tiada respond. Tetapi dengan kuasa Allah, Sara bernafas dan terus dibawa ke NICU," doktor itu menyambung penjelasannya.

Apa benda pula NICU? Wad biasa kot agaknya? Tak ada apalah tu yang nak risau.

"Baby malam ini, okay," kata doktor itu lagi.

Saya berjumpa dengan isteri pada jam 11 malam. Isteri masih mamai lagi. Saya beritahu dia yang baby ditempatkan di NICU dan semuanya okay mengikut apa yang diberitahu oleh doktor. Saya suruh dia berehat dan saya nak pergi azan/iqamah baby Sara.

Masuk saja NICU, "Apa benda pula tempat ini? Mesin sana sini, kusut kepala dengar bunyi-bunyi mesin itu,". 

Doktor datang dan bertanya, "Ayah baby Suhaila ke? Anak ada di katil 5," katanya. 

Saya pergi tengok, Alhamdulillah Sara bergerak-gerak walaupun kecil. Doktor ajar saya bagaimana nak mencuci Sara. Pertama kali memegang Sara, saya tahu dia mesti kuat, mesti boleh survive. Selepas azan/iqamah, saya kata pada Sara yang esok pagi saya akan datang lagi.

Pagi keesokannya, doktor maklumkan pada saya kondisi Sara bagaimana, 'baby you macam ni, baby you macam ni, nanti dia besar jadi macam ni,' dan saya malas nak dengar sebab doktor bukannya Tuhan. Bohonglah kalau saya tak risau bila dia kata Sara ada pendarahan otak stage 2 sebab oksigen tidak sampai ke otak bila deliver tak ada heart beat. Paru-paru Sara pun tak kuat, salur jantung Sara terbuka. Doktor kata, kena tunggu tempoh untuk melihat perkembangan Sara.

"Berapa lama anak I kena duduk dalam NICU ini?" soalan bodoh terpacul dari mulut. 

"Cukup lama dan you kena kuat," kata doktor.

"Berapa lama? Sebulan? Dua bulan?" tanya saya lagi

"Mungkin 3 bulan paling cepat mungkin," jawabnya membuatkan saya menerima sahaja jawapannya.

Kasihan Sara, banyak betul mesin dan wayar di badan kecil itu. Pelbagai macam bunyi yang ada. Saya tidak faham apa benda yang berbunyi di screen itu.

Seminggu sudah berlalu, saya pergi buat surat beranak Sara di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Saya dan isteri bersetuju untuk berikan nama Sara Khadeeja. 

"Selepas tiga bulan encik datang ambil MyKid," kata pegawai JPN. 

"Nanti saya datang ambil MyKid, saya bawa baby saya," kata saya padanya.

Selepas Sara lahir, rutin kehidupan saya berubah terus. Saya kena jaga isteri yang berpantang di rumah seorang diri, kena jenguk Sara di NICU dan kena kerja. Sepanjang Sara berada di NICU, apa yang doktor tak cakap tentang Sara? Semua jenis penyakit yang saya tidak mahu dengar doktor beritahu.

"Doktor ini poyo saja lebih. Bajet-bajet tahu semua pula," kata saya yang cuba menyedapkan hati sendiri.

Saya kena berulang ke Hospital Pantai Bangsa untuk membeli ubat IV caffein untuk paru-paru Sara. Kena berulang ke Sime Darby Medical Centre Ara Damansara untuk membeli ubat jantung Sara. Saya tidak kisah, yang penting ialah Sara sihat. Saya sanggup buat apa sahaja untuk anak saya seorang ini.

Selepas 22 hari Sara survive, pagi itu sebelum pergi ke pejabat, seperti biasa saya akan jumpa Sara dulu.

"Ibunya mana? Tak datang sekali ke? Anak awak kritikal ini," kata doktor. 

"Isteri saya ada di rumah, berpantang," 

Doktor kata, Sara akan dibedah hari ini (12 Jun 2015) sebab ada jangkitan di usus. Allahuakbar. Macam mana nak bedah baby sekecil itu? Boleh survive ke?

Kata doktor, pembedahan itu berisiko tinggi, kalau tak buat lagi berisiko tinggi juga. 

"Tak apa, kita buat dan cuba sebab saya dah tak sanggup tengok perut anak saya bengkak seperti itu," kata saya pada doktor.

Saya cuba memanggil Sara dan memegang tangannya, namun tiada respon. Sara hanya kaku.

Sara dipindahkan dari bed 5 ke bed 8. Kata doktor, kena buat prosedur di NICU juga. Selepas solat Jumaat, saya tengok Sara masih tidak bergerak. Doktor beritahu mungkin jam 6 petang nanti Sara akan dibedah. Saya dan isteri berdoa supaya semuanya lancar dan selamat. Saya kena tenang sebab isteri masih belum stabil lagi pada masa itu. 

"Tak apa mummy, Sara kan kuat, dia fighter," kata saya padanya.

Alhamdulillah Sara selamat. Pembedahan itu mengambil masa sejam. Doktor beri pelbagai jenis ubat dan antibiotik untuk Sara. Bertambah lagi mesin dan wayar di badan Sara. 

Menurut doktor, usus Sara yang sihat 40 sentimeter saja. 40 sentimeter lagi terkena jangkitan. 20 sentimeter lagi 50/50 tetapi tidak dipotong lagi. Mereka 'bypass' dan rehatkan usus itu buat sementara. Cuba rawat usus yang rosak itu dengan antibiotik dengan harapan akan kembali pulih sihat seperti biasa. Sekarang Sara ada usus (stoma) atas perut.

Alahai, macam mana pula tu? Sampai bila buang air di atas perut tu? Kata doktor, nanti sebelum Sara discharge, mereka akan masukkan kembali usus itu. Fuh! Lega betul pada masa itu.

Selepas pembedahan itu, saya tengok Sara masih seperti itu juga. Tiada perubahan yang baik, masih kena puasa, makan pun ikut TPN saja. Bila nak besar kalau begitu? Perut pun masih bengkak lagi. Doktor takut usus yang 40 sentimeter itu mati dan reput. Kalau tak okay juga, kena bedah sekali lagi untuk tengok apa yang terjadi pada usus 40 sentimeter itu. Kami suami isteri pasrah dengan apa yang terjadi. 

1 ramadhan 18 Jun 2015, semasa saya berada di pejabat, surgeon call beritahu nak bedah Sara sekali lagi pada petang itu. Saya balik rumah terus bawa isteri pergi ke NICU berjumpa dengan Sara. Doktor NICU kata kali ini kena realistik, kalau 60 sentimeter itu tidak boleh diselamatkan dan kena buang, kami kena buat keputusan berapa lama nak Sara hidup. Katanya tiada bayi yang boleh hidup dengan usus 40 sentimeter. 

"Tak apa, kita buat (bedah) dulu dan tengok apa hasilnya dulu," kata kami. 

Selepas azan maghrib, doktor kata usus terpaksa dipotong sebab sudah mati dan reput. Hanya tinggal usus 40 sentimeter saja yang masih sihat dan 20 sentimeter yang 50/50 itu. Surgeon kata usah bimbang, usus ini akan panjang lagi bila baby semakin dewasa. 

Alhamdulillah, saya bersyukur sangat sebab pembedahan kali ini berjaya lagi. Syukur ya Allah.

Selepas pembedahan itu, Sara kena puasa lebih kurang tiga minggu. Ada saja jangkitan yang menganggu Sara. Selepas itu, Sara semakin stabil, dah boleh minum susu dan boleh pegang kami. Sara juga dah pandai merajuk, dah pandai bermain dengan kami. Kami sangat gembira pada masa itu. Doktor kata Sara kena elakkan dari sebarang jangkitan sahaja. InshaAllah Sara akan okay.

Semasa berada di bed 8, Sara dapat jangkitan baru. Dipindahkan ke bilik isolation pula. Duduk di bed 27, 5 star dan tidak perlu berkongsi dengan kawan-kawan yang lain.

Pada masa ini, Sara semakin tabil tetapi biasalah ada saja kuman yang kacau Sara. Doktor kata Sara terlalu rapuh dan mudah mendapat jangkitan selain dari malas bernafas. Lama sangat guna ventilator, bimbang Sara lupa cara nak bernafas. 

Saya malas nak mendengar semua itu. Pada saya, tak apalah, Sara kan kuat. Lama-lama nanti pandailah Sara bernafas sendiri. Berani doktor kata Sara malas? Dia ini buta ke bodoh? Kan Sara hebat, dia boleh lawan semua kuman kan? Tetapi saya malas nak marah doktor ini. Kalau ikut darah muda saya, mau kena sembur doktor ini.

Sara on off vantilator dengan Cpap. Kami tidak kisah yang mana pun, yang penting Sara selesa. Kami mahu Sara cepat membesar dan sihat. Berat Sara pada ketika itu sudah mencecah 1 kilogram. Alhamdulillah. Isteri nak belikan kek untuk raihkan Sara 1 kilogram. Kami seronok sangat pada masa itu dan Sara pun dah pandai buat perangai. Nak kena gosok badan barulah lena.

Tahun ini kami menyambut 1 Syawal dengan Sara di NICU. Lain rasanya beraya di Kuala Lumpur ini. Tak meriah tetapi gembira sebab saya ada isteri dan Sara. Bila Sara sudah pandai menghisap, pening kepala kami mana nak cari pacifier untuk baby premie ini. Tak jumpa-jumpa juga sampai ke sudah.

Sara dah boleh pakai baju walaupun baju itu agak besar. Dah pandai minum susu guna syringe. Doktor kata Sara sudah pandai bernafas, pandai menghisap dan pandai menelan. Alhamdulillah.

Doktor kata kena bagi Sara steroid untuk off ventilator. Bila guna ventilator lama-lama, tak bagus untuk paru-paru. Nanti ada parut dan susah nak sembuh. Saya kata tak mengapa dan kita cuba untuk Sara. Tetapi ada kesan sampingan, Sara akan dapat Cerebral Palsy bila dewasa nanti. Saya cakap tak apa, macam mana pun Sara besar nanti, kami tetap akan menjaga Sara.

Dalam tempoh ini, Sara berjaya dengan ROP procedure. Doktor kata Sara tidak ada risiko untuk buta. Alhamdulillah, saya tahu Sara kuat dan kita semua kuat. Sara sudah pandai bernafas. Dari ventilator tukar ke BIPAP. Dari BIPAP tukar ke CPAP. Dari CPAP Sara berjaya tukar ke HiFlow. Dari HiFlow tukar ke LowFlow. Sampailah doktor buat keputusan nak tutup oksigen sebab Sara semakin stabil. Padan muka doktor yang cakap Sara malas hari itu. Sara kuat, bukannya malas, cuma kadang-kadang terlupa saja kan?

Bila semua dah nampak stabil, diam tak diam dah tiga bulan Sara berada di NICU. Tiga bulan dah saya asyik berulang ke hospital dengan isteri untuk menjenguk Sara. NICU itu dah seperti rumah kami. Sebelum pergi pejabat jam 7 pagi, saya akan berjumpa dan bersembang dengan Sara dulu sehinggalah dia lena barulah saya pergi ke pejabat. Selepas Zohor, isteri pula pergi melawat Sara sampailah saya balik dari pejabat jam 8 malam. Begitulah rutin kami bila ada Sara.

"Bayi encik ini tunggu besar dan sihat saja. Kalau semua okay, kita akan buat prosedur untuk tutup stoma Sara itu," kata doktor.

Kami sudah tidak sabar menunggu masa itu. Iyalah, kalau tak disambung usus Sara itu, macam mana Sara nak besar? 40 sentimeter mana cukup untuk Sara absorb all the nutritions kan? Pada masa itu Sara sudah boleh keluar dari incubator untuk seketika. Isteri dah boleh buat kangaroo care. Saya suka tidur atas ibunya.

Masa gembira seperti ini ada saja jangkitan yang Sara dapat. Patutnya Sara akan buat prosedur untuk stoma closure pada 2 September 2015 tetapi ada saja kuman yang datang nak berkawan dengan Sara. Kasihan tengok Sara bila doktor datang nak ambil darah Sara. Sudahlah Sara kecil, kurus, susah doktor nak cari urat darahnya. Tetapi Sara kuat, satu demi satu masalah Sara berjaya lalui. Semuanya okay dan memang betul Sara ini real fighter. You're miracle Sara.

Sampailah doktor buat keputusan nak masukkan Hickman Catherer semasa pembedahan nanti supayah tidak payahlah doktor nak cucuk-cucuk badan Sara untuk masukkan TPN, antibiotik. Doktor kata 9 September 2015, mereka akan buat pembedahan terakhir untuk Sara. Jadi doktor bawa Sara untuk buat.

Malam sebelum pembedahan itu, Sara buat hal, meragam dan tidak mahu tidur. Kami datang temankan Sara sampai jam 12 pagi. Doktor suruh balik dulu sebab esok kena datang awal.

Hari operation Sara 9 September 2015, kami datang tengok Sara sihat seperti biasa. Kami ikut Sara sampai Dewan Bedah. Kami tengok Sara menangis sebab pacifier Sara tercabut dari mulutnya. Saya nak tolong tapi tak boleh sebab doktor dah tolak Sara masuk dalam Dewan Bedah jam 11 pagi. Lama kami tunggu sehinggalah doktor beritahu pembedahan sudah selesai pada jam 4.30 petang. Surgeon kata usus Sara dipotong lagi 20 sentimeter. Tinggallah usus 40 sentimeter untuk hidup. Hari itu, saya ingat doktor kata baby sekurang-kurangnya ada usus 60 sentimeter untuk hidup. Sara bagaimana pula? Fikiran saya sudah menjadi kusut.

Saya tengok Sara sudah tidak bergerak langsung selepas pembedahan. Tidak seperti pagi tadi. Sara kaku, ramai doktor di katil Sara dan semua kelam kabut membuatkan kami semakin kusut dan bercelaru. Petang itu doktor yang jaga Sara ulang kembali apa yang dia pernah beritahu kami semasa pembedahan yang kedua (18 Jun 2015). Dia suruh kami jadi realistik dan buat keputusan berapa lama nak Sara hidup guna mesin TPN. 

"Kenapa semua berubah?!"

Tetapi saya kata tak mengapa, kita bagi masa sebab saya kenal Sara yang bukan jenis cepat berputus asa. Sebab dari awal lagi Sara memang seorang pejuang. Saya kenal Sara lebih dari orang lain yang kenal Sara. Kali ini bila solat, saya tak tahu nak minta apa dengan Allah. Saya cuma minta segalanya dipermudahkan. Cukuplah, saya tidak sanggup melihat Sara seperti itu. Kalau umur Sara panjang, sihatkanlah Sara seperti bayi yang lain. Tetapi kali ini saya dah tak sanggup tengok doktor cucuk-cucuk Sara. Dah tak sanggup!

Malam itu, Sara kritikal. Lama betul saya tak dengar benda seperti itu. Jam 9.45 malam, doktor kata jantung Sara sudah berhenti. Mereka buat CPR dan beri ubat jantung pada Sara sampailah dos yang maksimum pun Sara masih tidak memberikan respon!

"Come on Sara, jangan give up okay! Takkan secepat itu Sara lupa yang mummy dan daddy selalu pesan? Kami pesan apa pun jadi, Sara jangan give up kan?"

Doktor suruh kami tunggu di luar, kami tengok heart rate Sara di monitor semakin lama semakin drop. Doktor beritahu kami yang mereka sudah cuba menyelamatkan Sara. Mereka minta izin kami untuk berhenti beri semua ubat dan mesin bantuan.

"Mummy, tak mengapa, Sara sudah letih, kita lepaskanlah dia. Allah lebih sayangkan dia," pujuk saya pada isteri.

Jam 10.25 malam, Allah ambil Sara dari kami. Kam bangga ada Sara Khadeeja untuk 111 hari. Sehingga ke hari ini kami masih rindukan Sara Khadeeja. Semangat Sara berjuang untuk hidup, saya tidak akan pernah lupa. Banyak yang saya belajar dari Sara. Sara Khadeeja, you are real fighter!

Sara Khadeeja Bte Muhamad Shafiq
21/05/15 - 09/09/15

Al-fatihah - Shafiq Kekelip.

Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM sahaja. 
loading...

MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI

Artikel Berkaitan

isu semasa 1228430381647501913

Catat Ulasan

Popular

Random Entri

Arkib

item