LEE CHONG WEI BAKAL HILANG TAKHTA NO 1 DUNIA ?
https://coretanmalaysiaterkini.blogspot.com/2014/12/lee-chong-wei-bakal-hilang-takhta-no-1.html
KUALA LUMPUR - Penggantungan sementara yang dikenakan terhadap Datuk Lee Chong Wei bakal menyebabkan jaguh badminton negara itu menerima padah apabila dijangka hilang takhta No. 1 dunia dalam ranking dunia, Khamis ini.
Kejayaan jaguh China, Chen Long merangkul kejuaraan penutup musim, Siri Super Dunia Akhir di Dubai kelmarin, bakal mengangkat juara dunia itu sebagai pemain No. 1 yang baharu.
Chong Wei, 32, mengungguli kedudukan No. 1 dunia sejak tamat Sukan Olimpik 2008 di Beijing.
Dia hanya pernah kehilangan takhta tersebut sekali dalam tempoh yang singkat iaitu kepada musuh tradisinya, Lin Dan pada 2012.
Pemenang dua pingat perak Sukan Olimpik itu bagaimanapun tidak dibenarkan daripada menyertai sebarang pertandingan sejak 11 November lalu selepas digantung sementara oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akibat positif dadah.(Baca Sini).
Chong Wei, yang kali terakhir beraksi secara kompetitif dalam Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, September lalu didapati positif dexamethasone ketika beraksi dalam Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark pada Ogos lalu.
Kegagalan Chong Wei mempertahankan kejuaraan Siri Super Dunia Akhir menyebabkan dia kehilangan banyak mata dalam ranking dunia.
Ketika Chong Wei hilang mata demi mata sejak beberapa bulan lalu, Chen Long pula memanfaatkan sepenuhnya situasi tersebut dengan menjuarai Siri Super Premier Terbuka Denmark, diikuti Siri Super Dunia Akhir. Chen Long, 25, kini mengumpul 84,401 mata, namun kemenangan mudah 21-16, 21-10 ke atas bintang muda Denmark, Hans-Kristian Vittinghus dalam perlawanan akhir kelmarin bakal melonjakkan lagi kedudukannya.
Kejayaan muncul juara Siri Super Dunia akan membolehkan Chen Long mengutip 90,361 mata keseluruhan, sedangkan Chong Wei hanya memiliki 84,361 mata.
Selagi perbicaraan Chong Wei tidak berjalan, selagi itu kedudukannya tergantung.
Paling merisaukan, apakah dia sempat untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 di Rio. Kempen kelayakan hanya akan bermula pada Mei.
loading...
MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI