Elyana Dipaksa Suami Untuk Kembali Giat Dalam Bidan Seni ?
https://coretanmalaysiaterkini.blogspot.com/2015/01/elyana-dipaksa-suami-untuk-kembali-giat.html
Penyanyi dan pelakon Elyana memberitahu suaminya, Khairul Anuar Husin, 40, sentiasa memaksa agar dia kembali aktif dalam bidang seni selepas hampir empat tahun menyepikan diri.
Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal, 28, berkata, suaminya bimbang dia mungkin bosan menjadi suri rumah sepenuh masa.
"Selepas berkahwin dan hamil keputusan untuk memperlahankan kerjaya datang dari diri sendiri kerana ingin melihat anak membesar depan mata sendiri.
"Kini anak kami sudah pun berusia empat tahun dan dia banyak memberi galakkan supaya saya kembali aktif kerana mahu saya bersemangat dan meneruskan minat dalam bidang seni," katanya .
Elyana ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri lakonannya berjudul Keluarga Karaoke di Red Box Pavillion di sini, Selasa.
Selain Elyana, drama 60 episod itu turut dibintangi oleh Raja Ema, Sherry Ibrahim, Elfaeza Ul-Haq, Zarina Zainuddin, Beego dan Dazrin Kamarudin.
Ia bakal disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Rabu pada pukul 10 malam bermula 9 Februari depan di saluran Mustika HD (134).
Dalam pada itu, Elyana berkata, dia berani untuk bergiat aktif sebagai penyanyi dan pelakon kerana anaknya, Cinta Sumaiyah, 4, sudah pun memulakan pembelajaran di peringkat pra-sekolah.
Malah kata Elyana, Khairul Anuar turut memberikan keyakinan akan menjaga anak sekiranya dia sibuk memandangkan suaminya itu bekerja sendiri.
"Dia pun dah besar dan pandai bercakap jadi saya tidak risau sangat kalau hendak keluar bekerja tambahan pula suami ringan tulang menjaganya," ujar Elyana.
Sementara itu, Elyana berkata, dia kini sedang dalam proses merakamkan album terbaharunya yang tergendala hampir empat tahun lalu.
Jelas Elyana, album berkenaan bakal memuatkan 10 buah lagu dan akan diterbitkan oleh Aidit Alfian.
"Sepatutnya album itu dah siap empat tahun lalu tetapi kerana saya berkahwin, dapat anak dan sibuk menguruskan rumah tangga jadi saya tangguh terlebih dahulu.
"Tetapi saya selesa apabila dapat kembali berkolaborasi dengan Aidit kerana dia memahami kehendak saya sebagai penyanyi, katanya.
Dalam perkembangan lain, Elyana berkata, dia teruja dapat kembali berlakon dan berharap drama Keluarga Karaoke mampu memberi impak kepada kariernya.
Jelas Elyana, dia tidak berasa kekok kembali memasuki set penggambaran selepas sekian lama malah seronok dapat bertemu rakan-rakan artis lain.
"Sebelum album diharap drama bersiri ini dapat mengubat rasa rindu peminat dan ia sebuah karya yang cukup santai tetapi menyeronokkan," jelasnya.
loading...
MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI