JAWI Tidak Berani Ambil Tindakan Terhadap Rosmah ?
https://coretanmalaysiaterkini.blogspot.com/2015/01/jawi-tidak-berani-ambil-tindakan.html
PETALING JAYA : Tindakan pantas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang dilaporkan akan mengeluarkan waran tangkap kepada tiga gadis bertudung yang berpeluk dan bercium dengan bintang K-Pop dilihat agak keterlaluan dan berlebih-lebihan.
Bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Shahbudin Husin mendakwa bahawa sebaliknya jabatan itu gagal bertindak ke atas Datin Seri Rosmah Mansor yang memeluk pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
Sehubungan itu blogger itu mengecam JAWI yang disifatkannya ingin “tumpang semangkuk” dalam isu K-Pop kerana mahu menunjuk-nunjuk kuasa dan keprihatinan mereka terhadap perbuatan maksiat dalam negara.
Dakwanya, banyak perilaku maksiat termasuk secara terang-terangan dan media sosial yang tidak diambil tindakan.
Beliau mencabar JAWI: ”Panggillah Rosmah untuk disiasat dan jika enggan, keluarkanlah waran tangkap juga? Kenapa ketika itu JAWI diam saja?”
”Walhal, banyak maksiat lain yang terang-terangan berlaku dalam masyarakat, tidak pula JAWI bersungguh mahu membanterasnya,” tulisnya dalam entri terbaru blog shahbudindotcom.blogspot.com.
Beliau mendakwa, maksiat, pergaulan bebas, adegan tidak senonoh di tempat awam, berpeluk dan bercium yang melibatkan orang Islam sebenarnya bukanlah sukar untuk dihidu oleh JAWI jika mereka benar-benar ingin membanterasnya.
“Sebenarnya banyak lagi maksiat nyata dan terang-terangan yang sepatutnya lebih diambil peduli oleh JAWI berbanding perlakuan gadis-gadis remaja dengan artis K-Pop itu,” ujarnya.
Shahbudin turut mengecam JAWI dengan menyifatkan pejabat agama itu seperti budak baru ”masuk jawi”, tidak matang dan terangsang dengan perkara remeh.
“Makanya, eloklah JAWI ‘bersunat’ dulu agar tindakannya tidak kekok di mata masyarakat,” katanya.
Bekas Naib Pemuda Wangsa Maju itu juga menyarankan tindakan diambil terhadap pelakon-pelakon yang menayangkan aksi berpeluk, bercium, berkemban dan bermesra atas katil di kaca televisyen.
“Adalah penting untuk JAWI bertindak berdasarkan keutamaan dalam masyarakat. Maksiat dan adegan tidak senonoh lain berlaku sepanjang masa dan berleluasa, manakala aksi remaja dengan bintang K-Pop itu hanyalah aksi terpencil saja. Ia boleh ditangani dalam bentuk yang lain atau secara diam-diam sahaja,” tambahnya.
Beliau menulis: ”Dengan menghebohkan tindakan dalam perkara yang kecil dan remeh, tetapi mengabaikan maksiat yang lebih besar dan terang dalam masyarakat, hanya mendedahkan JAWI kepada kecaman dan pensendaan masyarakat semata-mata.”
loading...
MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI