Budak 11 Tahun Didakwa Atas Tuduhan Membunuh Bayi
http://coretanmalaysiaterkini.blogspot.com/2015/02/budak-11-tahun-didakwa-atas-tuduhan.html
CLEVELAND, Ohio – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun didakwa di sebuah mahkamah di sini atas tuduhan membunuh seorang bayi berusia dua bulan.
Dia dikatakan memukul bayi itu sehingga mati semasa mangsa bermalam di rumahnya.
Menurut Ketua Polis Wickliffe, Randy Ice, semasa kejadian kira-kira pukul 3 pagi Jumaat lalu, bayi malang itu, Zuri Mhitehead berada di atas sofa di tingkat bawah, manakala ibu kepada kanak-kanak itu pula dilaporkan tertidur di biliknya.
Menurut Ice, selepas ibu kepada kanak-kanak itu yang terjaga daripada tidur, dia mendapati anaknya sedang mendukung bayi itu yang mengalami kecederaan serius dan menemui kesan darah.
Menyedari perkara tersebut, wanita itu segera menghubungi talian kecemasan sebelum bayi itu dibawa ke unit kecemasan kanak-kanak di Cleveland, namun dia disahkan telah meninggal dunia.
“Ibu kepada kanak-kanak itu bersama ibu mangsa, Trina Whitehead yang juga memiliki tiga lagi anak telah mengenali antara satu sama lain sejak lima hingga enam tahun lalu.
“Mereka bagaimanapun tidak mempunyai sebarang ikatan persaudaraan,” kata Ice yang tidak mendedahkan nama kanak-kanak itu bersama nama ibunya kerana faktor usia suspek.
Statistik jenayah FBI di Amerika Syarikat menunjukkan terdapat 20 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun telah berhadapan dengan tuduhan membunuh pada 2012.
Menurut Ice, kanak-kanak itu yang sedang disoal siasat bersama ibunya tidak menunjukkan sebarang penyesalan ke atas apa yang telah dilakukan terhadap bayi tersebut dan suspek kini dalam pertimbangan untuk dirujuk kepada pakar kaunseling.
“Kami sedang berhadapan dengan masalah yang sukar untuk mencari individu yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan bayi ini,” kata Ice. – AP
loading...
MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI