HAJAT MANGSA QZ8501 MAHU MENGHABISKAN MASA DI LAUT SEORANG DIRI TIDAK KESAMPAIAN
https://coretanmalaysiaterkini.blogspot.com/2015/01/hajat-mangsa-qz8501-mahu-menghabiskan.html
Siapa sangka, hajat seorang pemilik kedai fesyen warga Indonesia untuk menyambut hari lahir dengan berlayar berseorangan menaiki kapal mewah bertukar menjadi mimpi ngeri untuk keluarganya.
Pemilik The Meiji, Thejakusuma mengucapkan selamat tinggal kepada sanak saudara sebelum menaiki pesawat AirAsia penerbangan QZ8501 untuk “bersendirian di laut”.
Tidak sempat wanita itu menyambut hari lahirnya pada 3 Januari, pesawat yang dinaikinya terhempas di perairan Selat Karimata dan jenazahnya ditemui di Laut Jawa.
Sepatutnya, Thejakusuma akan meraikan ulang tahun usianya yang ke 45 tahun dengan berlayar menaiki kapal mewah menjelajah Malaysia dan Thailand, namun tarikh tersebut bertukar dengan kepulangan jenazahnya kepada keluarga.
Di upacara pengebumian Thejakusuma, anak saudaranya, Eric Edi Santo memberitahu AFP bahawa dirinya dihantui dengan hajat terakhir ibu saudaranya itu.
“Kami ada bertanya ‘Bagaimana makcik mahu sambut hari jadi tahun ini?’. Dia menjawab secara bergurau ‘Makcik mahu menghabiskan masa di laut seorang diri’.
“Mungkin Tuhan tidak mahu dia bersendirian sambut hari jadi di laut, jadi dibawa makcik pulang,” cerita Eric.
Thejakusuma menaiki pesawat malang QZ8501 itu pada 28 Disember lalu bersama suami, ibu, tiga anaknya dan bakal menantu lelakinya.
Mereka semua menuju ke Singapura untuk melayari kapal mewah, namun sejurus selepas 40 minit terbang di udara, tragedi melanda pesawat tersebut dan ia dilaporkan terhempas di sekitar Laut Jawa.
Jasad Thejakusuma ditemui bersama anak perempuannya Stevie Gunawan dan mereka berdua adalah di antara 37 mayat mangsa nahas yang dijumpai pasukan SAR setakat semalam.
Keluarga Thejakusuma yang masih lagi gagal ditemui adalah suaminya Jie Charly Gunawan 48, ibunya, Jo Indri, 82, dua anaknya iaitu Steven, 19 dan Stephanie serta tunang Christanto Leoma Hutama, masing-masing berumur 28 tahun.
Pesawat yang membawa 162 penumpang dan anak kapal itu berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari yang sama (28 Dis).
Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 orang warga Indonesia, Korea Selatan (tiga) dan masing-masing seorang rakyat Singapura, Malaysia dan United Kingdom.
Krunya pula terdiri daripada enam Indonesia dan seorang Perancis.
loading...
MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI