Tindakan Sirul Adalah Mengikut Arahan Seseorang & Beliau Terpaksa Mengikutnya
http://coretanmalaysiaterkini.blogspot.com/2015/01/tindakan-sirul-adalah-mengikut-arahan.html
Apa saja berita tentang darah daging yang pernah dikandung sembilan bulan, dibesarkannya itu, tidak mungkin dapat ditepis dan dibiarkan dibawa angin lalu.
Tidak dapat digambarkan kesedihan seorang ibu apabila mengenangkan nasib anak keempat daripada lapan beradik iaitu bekas anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, Koperal Sirul Azhar Umar yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan, kelmarin.
Menjejaki rumah pusaka didiami Sirul Azhar bersama keluarga sejak kecil di kampung halamannya di Batu 8, Trong, Taiping, tidaklah sukar.
Pertemuan singkat dengan Piah Ahmad, 71, atau lebih mesra dipanggil Mak Long Piah, tidak banyak sedikit, dapat berkongsi duka si ibu tua.
Ikuti luahan ibu kandung Sirul Azhar seperti diceritakan kepada Wartawan Sinar Harian, NURUL MAZWANA HAMDAN, semalam.
Pintu rumah dibuka kecil. Separuh tubuhnya disembunyikan di balik daun pintu. “Apa yang boleh Mak Long cakap? Hukuman sudah diputuskan hakim, sudah dijatuhkan mahkamah," ibu tua itu bersuara lemah.
Sebagai seorang ibu yang sentiasa mengharapkan kesejahteraan anaknya, dia hanya mampu memanjatkan doa dan berharap anaknya itu kembali semula ke tanah air.
“Dah lama kami terputus hubungan. Kali terakhir kami berjumpa tahun lalu semasa dia datang jemput anaknya.
“Sebagai ibu, siapa yang tidak sedih mengenangkan nasib anak, tambahan pula ketika ini Mak Long tidak tahu di mana dia berada.
“Mak Long reda dengan keputusan yang sudah ditetapkan mahkamah. Itu ketentuan Tuhan. Sudah bahagian dia begitu, tapi kalau boleh Mak Long nak dia pulang.
Mak Long nak jumpa anak Mak Long, nak pegang tangan dia, nak sentuh pipi dia,” katanya.
Air yang sejak awal bergenang di kelopak mata Mak Long sudah jatuh ke pipi. Mak Long tunduk, sambil menahan sebak di dada.
“Walaupun amat berat untuk terima, Mak Long harus kuat terima semua ketentuan ini,” dia kembali bersuara. Riak duka masih jelas di wajahnya.
“Doa Mak Long untuk Sirul tidak pernah putus. Setiap hari Mak Long mohon ALLAH lindungi dia, pelihara dia. Mak long selalu solat hajat untuknya.
Menurut Piah, sudah lama dia tidak tonton televisyen kerana ia akan membuatkannya lebih sedih apabila mengenangkan anaknya itu.
“Sirul pernah cakap pada Mak Long, tindakannya itu dilakukan atas arahan seseorang dan dia terpaksa mengikutnya.
“Tidak kira apa pun yang berlaku, sebagai seorang ibu, Mak Long harap dia dapat pulang semula ke pangkuan keluarga. Saat ini itu saja yang Mak Long mahu,” katanya.
Piah kini tinggal berseorangan di rumah itu. Anak-anaknya semua sudah bekerja dan berkeluarga.
Kadang-kadang jiran-jirannya datang menemaninya pada waktu malam ~ Sinar Harian
loading...
MOHON BANTU LIKE JIKA ANDA SUKA ARTIKEL INI